100 tahun Al Imam Hasan Al Banna
Diambil dari http://nikabduh.wordpress.com
Salam Kamunting,
Kalau dia masih hidup, maka umurnya sekarang 101 tahun. Tua sangat. Tapi dia sudah pun kembali kepada tuhannya hampir 60 tahun lepas. Jasadnya. Adapun namanya, jika dunia ini masih bertahan 1000 tahun lagi, maka ia pasti kekal 1001 tahun lagi.
Dia pencinta RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam, maka baginda pasti mencintainya juga. Justeru dia hampir memperolehi semua apa yang diperolehi baginda, kecuali nubuwwah ( kenabian ). Namanya dijulang setinggi - tingginya oleh para pencintanya di dunia. Apabila para malaikat turut mencintainya, maka sampailah namanya penuh gilang gemilang di lapis langit ke tujuh, di singgahsana pertemuan dua kekasih sebenar di malam mikraj itu.
Al Imam Hasan Al Banna meninggal dunia dalam usianya 43 tahun. Muda terlalu muda untuk meninggalkan pengikutnya yang terlalu menyayanginya. Ramai meratapi kematiannya. Di sebalik jeriji besi pemerintah kusi besi di zaman itu dan juga di luarnya. Dia ditembak mati agar dia mati selama - lamanya. Tetapi malang sekali, suaranya tak mati. Suaranya terus bergema menerawang menghantui kezaliman duniawi sambil menggamit cahaya kebenaran sehingga kini.
Beliau adalah mujaddid. beliau adalah seribu ulama. Kerana itu, beliau pergi dengan seribu ulama menggantikan tempatnya menyebarkan apa yang dikehendaki Allah untuk ugamaNya.
Tajdid adalah sunnah yang pasti untuk ugama Islam. Agama ini mesti kekal secantik dan seasli ia cantik dan asli di tangan RasuluLlah dahulu. Tiada lagi jalan, tiada lagi tali dan tiada lagi ugama selepasnya buat manusia mengenal dan menyembah tuhannya.
Sepanjang zaman, umat Muhammad sentiasa sahaja ditemani perjalanan mereka dengan para mujaddidin yang dihantar Allah untuk memperbaharui fikiran, iman dan amal mereka pada ugama mereka. Khalifah Umar bin Abdul Aziz memulakanya. Kemudian berderetanlah nama - nama ulama agung dalam sejarah umat ini.
Kita mengenali mereka pada sirah perjalanan dan pengajaran mereka. Untuk Al Imam Hasan Al Banna, kita turut mengenal wajahnya pada keasliannya. Lihatlah wajahnya, Allah melakarkan keindahan hebat yang terlukis dan terukir dalam seri wajahnya itu.
Beliau dikeluarkan untuk umat yang sedang tewas kepada kekufuran yang melanda dunia Islam secara total. Beliau menubuhkan Al Ikhwan Al Muslimin di Mesir sebaik sahaja benteng terakhir Islam, kerajaan khilafah di Turki runtuh berkecai. Saat itu, umat tersadai dalam bahtera karam dihempas gelora jahiliyah abad 20 yang mengganas seganasnya. Umat Islam sedang merentas laluan yang belum pernah dilalui sebelumnya.
Kita namakannya sebagai syumuliyyatul Islam ( Islam yang syumul ). Itulah tajdid Al Imam. Musuh menembak Islam bertalu - talu. Islam berkecai dalam kepingan - kepingan yang akhirnya hanyut dan terpisah - pisah dibedal arus ganas. Umat yang kelemasan bergayut pada kepingan mana yang mampu digapai. Sesetengahnya terus lemas ditelan badai.
Dalam tempoh yang sukar, mereka hidup di atas bahagian - bahagian yang terpisah itu. Dalam kepompong itu mereka hidup. Itulah Islam yang mereka fahami. Jika itu, tiada yang melanda kecuali perasaan putus asa, kekecewaan dan ketewasan menghadapi kehidupan.
Al Imam Hasan Al Banna datang membawa bahtera baru. Naiklah, inilah Islam yang syumul. Inilah bahtera kekuatan dan kemenangan yang dinantikan.
Dakwah dan seruannya itu cukup untuk cukup merimaskan jentera kekufuran. Kerana itu, dalam tempoh yang segera, beliau dihapuskan. Pembunuhnya bukan sembarangan. Pembunuhnya adalah pakatan kekufuran sedunia.
Biarkan pembunuh itu membunuh. Mati adalah kesudahan semua. Lunaknya, bagi pejuang Islam, kematian itulah kehidupan yang diimpikan. Al Imam telah mengecapinya. Kita sedang mengimpikannya.
Itulah catatan sekadar melepas rasa cinta. Kita para pejuang Islam hampir - hampir tidak mampu untuk melepas diri daripada legacy beliau. Kita terlalu mencintainya kerana kita tahu dia terlalu mencintai Allah dan Allah pasti mencintainya. Hasan Al Banna, dia mengajar kita mencintai Allah.
Tuhan kami, kami menagih cintaMu. Biarkan dan lepaskan kami dalam ketagihan..
No comments:
Post a Comment