Friday, July 11, 2008

MUBAHALAH

Soalan; Apakah dia mubahalah? Pernahkan ianya dilaksanakan di zaman Rasulullah s.a.w?

Jawapan;

Al-Mubahalah bermaksud al-Mula’anah (saling melaknat), iaitu dua pihak yang bertelagah masing-masing berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh agar Allah menurunkan laknat ke atas pihak yang berbohong atau berdusta di antara mereka berdua. Contoh Mubahalah ialah dengan masing-masing berdoa; “Ya Allah! Laknatkanlah orang yang berdusta di antara kami berdua dalam masalah antara kami ini”.

Pensyari’atan Mubahalah disebut di dalam ayat Allah; “Sesiapa membantahmu dalam hal itu (wahai Muhammad) selepas datang kepadamu ilmu, maka katakanlah kepadanya; ‘Marilah! kita ajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, kami sendiri dan kamu juga, kemudian kita bermubahalah (yakni saling berdoa bersungguh-sunguh) agar Allah menimpakan laknatNya ke atas orang-orang berdusta” (Ali Imran; 61).

Menurut ulamak Tafsir; sebab turun ayat di atas dan ayat-ayat sebelumnya dari awal surah Ali Imran ialah rombongan orang-orang Nasrani dari Najran yang datang ke Madinah, lalu berhujjah dengan Nabi s.a.w. tentang Nabi Isa a.s. di mana mereka mendakwa beliau adalah jelmaan Tuhan atau anak Tuhan. Lalu hujjah-hujjah mereka dipatahkan oleh Nabi s.a.w. dengan mengemukakan penjelasan Allah tentang Nabi Isa a.s. dalam surah Ali Imran, antaranya firman Allah (bermaksud); “Sesungguhnya perumpamaan (penciptaan) Isa bagi Allah sama seperti penciptaan Adam. Dia menciptakannya dari tanah, kemudian Dia berkata kepadanya; ‘Jadilah’, maka ia pun jadi” (Ali Imran; 59). Walaupun telah dibentangkan hujjah-hujjah yang kukuh, mereka tetap berkeras dengan kepercayaan mereka. Akhirnya, Allah menurunkan ayat memerintahkan Nabi Muhammad mengajak mereka bermubahalah iaitu dengan firmanNya di atas (yakni ayat 61 dari surah Ali Imran di atas). Tatkala diajak untuk bermubahalah oleh Nabi s.a.w., mereka meminta tangguh beberapa hari untuk bermesyuarat sesama mereka. Di kalangan mereka ada seorang alim Nasrani bernama ‘Abdul-Masih. Mereka bertanya pandangannya. Ia menjawab; “Demi Allah, wahai kaum Nasrani. Kamu sekelian mengetahui bahawa Muhammad itu memang benar seorang Nabi yang diutuskan. Ia datang kepada kamu dengan membawa kata pemutus bagi urusan sahabat kamu (yakni Isa a.s.). Kamu juga mengetahui bahawa tidak ada kaum yang melaknat Nabi mereka melainkan Allah akan memusnahkan mereka hingga ke akar umbi sama ada yang dewasa atau yang masih kecil…”. Akhirnya mereka menolak untuk bermubahalah dan memilih untuk berdamai dengan Nabi dan membayar jizyah. (Rujuk kisah ini dalam Tafsir Ibnu Kathir).

Dari ayat di atas disimpulkan bahawa harus berhujjah untuk menegakkan urusan agama, dan sesiapa menentang dan menolak sesuatu dari Syari’at harus kita bermubahalah dengannya sebagaimana mengikuti perintah Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.. (Tafsir al-Qasimi).

Menurut Imam Ibnul-Qayyim dalam Zadul-Ma’ad; Menjadi Sunnah dalam perdebatan dengan golongan kebatilan apabila telah ditegakkan hujjah Allah terhadap mereka, lalu mereka masih enggan kembali (kepada kebenaran) sebaliknya tetap berdegil untuk menentang (kebenaran), hendaklah mereka diajak untuk bermubahalah. Mubahalah itu telah diperintahkan Allah kepada NabiNya dan Allah tidak berkata; “Mubahalah itu khusus untuk kamu sahaja, tidak harus bagi umat kamu”. (Zadul-Ma’ad, 3/643)

Ada di kalangan ulamak menegaskan; tidak harus bermubahalah melainkan dalam urusan yang penting – mengikut Syarak- yang berlaku padanya kesamaran dan pertentangan yang sukar diselesaikan kecual dengan bermubahalah. Disyaratkan terlebih dahulu bagi urusan itu ditegakkan hujjah, dilakukan usaha untuk menghilangkan kekeliruan serta diberikan nasihat dan ancaman (kepada orang yang terlibat). Apabila segalanya tidak mendatangkan manfaat, maka barulah digunakan mubahalah sebagai cara terakhir yang terpaksa dilakukan (yakni darurat). (Tafsir al-Qasimi).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Tafsir Imam al-Qurtubi
3. Tafsir al-Qasimi al-Musamma; Mahasin at-Takwil (Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi).
4. Tafsir al-Wasit (Dr. Wahbah az-Zuhaili).

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 10:28 PM 0 comments

No comments: